Sunday, December 30, 2007

Ingat pada yang tidak bernasib baik

http://hikmatun.wordpress.com/

Baru-baru ini kita diperdengarkan kisah yang menghayat hati saudara-saudara kita diluar sana. Yang terdekat , banjir yang melanda di beberapa tempat di tanah air kita sendiri.

Jika sekiranya kita berada di dalam golongan yang bernasib baik, ingat-ingat la sama kepada golongan yang bernasib malang terutamanya saudara sesama Islam kita. Bagi yang berada tu, cuba-cuba membantu dari segi fizikal kepada yang terdesak memerlukan kewangan. Bagi yang tak berapa berada, boleh sahaja mengiringkan doa yang tak putus-putus kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Jika sekiranya kali ini bukan giliran kita untuk bernasib malang, mungkin akan datang kita akan menerima nasib malang. Malang tidak berbau, sebab itu lah kita dianjurkan agar mengingati dan membantu golongan bernasib malang. Sekurang-kurangnya apabila giliran kita tiba nanti, akan ada yang menghulurkan bantuan, dengan limpah kurnia dari Allah.

Tetapi ini tidak bermakna kita lakukan amal soleh ini kerana ingin mengharapkan balasan. Tetapi sudah hakikat kehidupan kita yang saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Sudah menjadi sunnatullah. Dan semua itu adalah di atas limpah kurnia dari Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang juga. Dan konsep tolong menolong antara satu sama lain ini adalah sepertimana yang firman Allah S.W.T;

"Dan tolong-menolong engkau semua atas kebaikan dan ketaqwaan." (al-Maidah: 2)

Dengan kita mengingati golongan-golongan yang bernasib malang ini, melambangkan hati kita ada kecintaan sesama manusia lebih-lebih lagi sesama Islam. Tetapi di sebalik itu, tidak perlu kita tunggu seseorang itu ditimpa kemalangan yang besar, penyakit yang teruk dan sebagainya untuk mengingatinya. Adalah suatu kebaikan juga untuk kita mengingati orang-orang yang kita kenali, umpamanya keluarga kita, jiran tetangga kita, saudara mara, sahabat handai dan seluruh manusia yang beriman kepada Allah S.w.t.

Banyak hadith yang menganjurkan tentang berkasih sayang sesama saudara ini, antaranya;

Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Ada tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada di dalam diri seseorang, maka orang itu dapat merasakan manisnya keimanan iaitu: jikalau Allah dan RasulNya lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya, jikalau seseorang itu mencintai orang lain dan tidak ada sebab kecintaannya itu melainkan kerana Allah, dan jikalau seseorang itu membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat: "Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka itu akan saya beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri." (Riwayat Muslim)

Dari Mu'az r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Allah 'Azzawajalla berfirman:

"Orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu, maka mereka itu akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para syahid - mati dalam peperangan untuk membela agama Allah."

Untuk itu cuba kita tanya hati kita, adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin dan muslim. Adakah kita sayang saudara kita seperti kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita tidak mahu derita?

Tepuk dada tanya hati dan iman. Walaubagaimana pun, kita semua tetap akan merasai kematian suatu masa nanti, lambat atau cepat je yang berbeza. Semua adalah ketentuan Allah. Semoga kita semua dapat mengakhiri hidup kita dengan kesudahan yang baik serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. InsyaAllah..