Wednesday, November 28, 2007

Bila Dahi BErtemu Sejadah

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
TERASA KASIHNYA YANG MAHA ESA,
DALAM SUJUD KEHENINGAN PAGI,
MENAGIH KEAMPUNAN ILAHI..

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
MENGIMBAU AKAN DOSA DAN NODA,
ADAKAH MASIH ADA PELUANG UNTUKKU,
KEMBALI KE JALANMU YA ALLAH...

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
TERASA KERDILNYA DIRI,
LAHIR DARI SARIPATI YANG HINA,
MENGABDIKAN DIRI KEMBALI KE PANGKUANMU...

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
HAMBAMU INI BERDOA KEPADAMU,
TETAPKANLAH IMAN HAMBAMU INI,
BERILAH PETUNJUKMU yang AGUNG,
AGAR BISA DIRI INI TAAT KEPADAMU....

BILA DAHI BERTEMU SEJADAH,
HATI INI MERINTIH KEHINAAN,
MASIHKAH ADA JIHAD DALAM DIRIKU,
SAAT SAUDARAKU DIROBEK KEKEJAMAN,
ADAKAH aku HANYA MANPU MELIHAT....

SEBELUM DAHIKU BERTEMU SEJADAH,
SUJUD MENGHARAP KEAMPUNANMU,
HAMPARKANLAH NUR HIDAYAHMU,
LUNTURKANLAH KEHINAAN HAMBAMU INI,
AGAR BISA KU BERDIRI DIHADAPANMU KELAK,
DENGAN PENUH rasa BANGGA MENJADI HAMBAMU YANG KAMIL...........

Monday, November 05, 2007

Jangan Benci Membenci

JANGAN BENCI - MEMBENCI Oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur?

Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah :-

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Ssentiasa bersangka baik terhadap orang.
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yg berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita. 7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yg kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih dahulu baiki diri untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka"

Sunday, November 04, 2007

Cinta Umar al-Khattab kepada Rasulullah

Kisah Al-Quran - Siri 55

Cinta Umar al-Khattab kepada Rasulullah
NABI itu (hendaklah) lebih utama bagi orang-orang Mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain menurut (hukum) kitab Allah, daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis di dalam kitab Allah. (al-Ahzab: 6)

ORANG Islam perlulah mencintai Rasulullah melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Rasulullah pernah bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sebelum kamu mencintai aku lebih daripada kamu mencintai dirimu, hartamu, anakmu dan manusia sekalian.”

Pada suatu hari, Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku mencintai engkau melebihi segala-galanya kecuali cintaku kepada diriku sendiri.”

“Tidak, ya Umar,” jawab Rasulullah. “Engkau mencintai aku melebihi cintamu pada dirimu sendiri”.

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku mencintaimu melebihi segala-galanya, walaupun diriku sendiri.” kata Umar al-Khattab.

“Sekarang barulah betul,” kata Rasulullah.

Tidak ada orang di dunia ini yang mencintai Rasulullah seperti Abu Talib mencintainya. Abu Talib memelihara Rasulullah dengan penuh kasih sayang ketika Baginda masih kecil. Apabila musuh Islam mencari Rasulullah, Abu Talib akan melindungi Baginda.

Apabila orang kafir Quraisy memulaukan Rasulullah, Abu Talib tetap teguh di sisi anak saudaranya itu.

Kecintaannya kepada Rasulullah adalah salah satu perakuan bahawa Baginda adalah Rasul Allah yang diutuskan ke dunia ini untuk menyampaikan risalah Allah kepada umat manusia.

Orang-orang yang beriman mengakui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Perintah Baginda harus dipatuhi dan dilaksanakan.

Orang-orang Islam dahulu menunjukkan bukti cinta mereka dengan sentiasa berada di sisi Rasulullah untuk mempertahankan Baginda daripada apa jua ancaman. Mereka rela syahid demi Rasulullah.

Umat Islam perlu memperbanyakkan berselawat kepada Baginda. Ikutilah dan hayati sunah-sunah Rasulullah bagi membuktikan cinta kita kepada Baginda.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

PENGAJARAN

* Kita mesti mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri kita sendiri. Tidak ada benda di dunia ini yang boleh melebihi cinta kita kepada Rasulullah.

PERBENDAHARAAN KATA

* memulau: menyisih seseorang

* berselawat: membaca doa ke atas kesejahteraan nabi

* sunah: peraturan atau adat yang berdasarkan perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad s.a.w.

INFORMASI

Umar dikenali sebagai seorang yang berani melakukan pembaharuan. Antaranya ialah;

* Mencetuskan idea untuk mengumpulkan ayat-ayat al-Quran.

* Merupakan orang pertama yang mendapat gelaran Amirul Mukminin (ketua orang-orang beriman).

* Orang pertama yang membuat Kalendar Hijrah bagi umat Islam.

* Orang pertama menyusun barisan pentadbiran dalam pengurusannya. Juga mengemaskini sistem gaji, rekod dan ketenteraan.

* Orang pertama melantik pasukan keselamatan seperti polis zaman sekarang.

Thursday, November 01, 2007

Mimpi Rasulullah SAW

Dari Abdurrahman bin Samurah berkata: Pada suatu hari keluar Rasulullah SAW menemui kami di suatu tempat, baginda berdiri lalu bersabda: “Malam tadi aku bermimpi tenteng suatu keajaiban.
Dalam mimpiku itu, aku melihat seorang lelaki dari golongan umatku yang didatangi oleh malaikat maut untuk mencabut nyawanya, maka datanglah amal kebaikan yang dilakukan oleh umatku itu kepada ibunya menolak malaikat maut itu.

Aku melihat seorang dari umatku yang akan mendapat seksaan kubur, maka datanglah amal kebaikan dari wuduk yang dikerjakannya, menyelamatkannya dari seksaan tersebut.

Aku melihat seorang dari umatku yang dikerumuni oleh syaitan-syaitan, maka datanglah amal kebaikan dari zikirnya, maka larilah syaitan-syaitan itu.

Aku melihat seorang dari umatku yang akan diseksa oleh malaikat azab, maka datanglah amal kebaikan dari solatnya, lalu menyelamatkannya dari malaikat azab itu.

Aku melihat seorang dari umatku yang sedang dalam keadaan kehausan, setiap kali ia akan mendekati suatu perigi maka ia dihalau ari perigi tersebut, maka datanglah amal puasa Ramadhannya, lalu ia memberi minum hingga tubuhnya menjadi segar.

Aku melihat seorang dari umatku, dan aku melihat para nabi punya kumpulan masing-masing, setiap kali ia ingin mendekati kumpulan itu, maka dia dihalau, lalu datanglah amal kebaikan dari mandi junubnya dan memimpin ia untuk duduk di sampingku.

Aku melihat seorang dari umatku yang di mukanya dalam keadaan gelap-gelita begitu juga di kanan dan kiri, di bawah, di atas semuanya dalam keadaan gelap, pada waktu itu ia dalam kebingungan, maka datanglah amal Haji dan Umrahnya, mengeluarkannya dari kegelapan tersebut, menuju ke tempat yang terang -benderang.

Aku melihat seorang dari umatku yang sentiasa menjaga mukanya dari percikan api neraka dan baranya, maka datanglah amal sedekahnya yang menyelamatkannya dari api neraka itu.

Aku melihat seorang dari umatku sangat ingin berkata-kata kepada semua orang mukmin,namun mereka enggan berkata-kata dengannya, maka datanglah amal silaturrahimnya yang menyelamatkan hingga akhirnya dia dapat bergaul dengan mesra bersama orang-orang mukmin lainnya.

Aku melihat seorang dari umatku yang sedang didekati oleh Malaikat Zabaniah, maka datanglah amal makruf nahi mungkarnya yang menyelamatkannyaa dari malaikat tersebut serta membawanya kepada Malaikat Rahmat.

Aku melihat seorang dari umatku berjalan dengan lututnya, antara dia dengan Allah ada hijab yang menutupinya. Maka datanglah amal akhlaknya yang baik memegangnya dan membuka hijab tersebut.

Aku melihat seorang dari umatku yang sedang dalam keadaan bingung kerana buku amalnya selalu mengarah untuk memberikan sebelah kirinya, maka datanglah rasa takutnya kepada Allah lalu menangkap buku itu dan memberikan kepada arah sebelah kanannya.

Aku melihat seorang dari umatku yang ringan timbangan amal baiknya, maka datanglah anaknya yang telah meninggal dunia lalu menjadikan berat timbangan amal kebaikanya.

Aku melihat seorang dari umatku yang sudah berdiri di tepi neraka jahannam, lalu datanglah harapannya kepada Allah menyelamatkannya dari tempat itu.

Aku melihat seorang dari umatku yang diseret untuk dimasukkan ke dalam neraka, maka datanglah titisan air matanya yang keluar kerana takut kepada Allah lalu menyelamatkannya.

Aku melihat seorang dari umatku yang sedang berdiri atas titian (sirat), sedangkan pada waktu itu dia dalam keaaan menggigil (bergoncang) seperti goncangan benda kecil yang ditiup oleh angin yang sangat kuat maka datanglah sangkaan baiknya terhadap Allah, lalu menjadikannya tenang dari goncangan itu.

Aku melihat seorang dari umatku yang dalam keadaan merangkak di atas titian (sirat), bahkan sekali-kali dia hampir jatuh ke dalam neraka, lalu datanglah amalan solatnya menyelamatkan sehingga akhirnya dia berdiri tegak di atas jambatan (sirat), dan dapat berjalan; dengan kedua kakinya dan selamatlah dia.

Aku melihat seorang dari umatku yang sudah mencapai pintu syurga, akan tetapi semua pintu-pintu itu tertutup untuknya. Maka datanglah ucapan syahadahnya lalu membuka pintu-pintu itu dan memasukkanya ke dalam syurga.

(Hadith sahih)
Dipetik drp Rahmat Disebalik Dugaan (Kamsuri Selamat MA)